Translate

School In The Cloud

Konsep School In The Cloud

            School In The Cloud merupakan idea pendidikan pada masa hadapan hasil daripada dapatan Profesor Sugata Mitra yang merupakan seorang penyelidik pendidikan di India. Beliau berpendapat bahawa sistem sekolah sedia ada sudah ketinggalan dan sekolah hanya melahirkan pelajar yang mempunyai satu identiti sahaja. Kreativiti pelajar telah diragut dengan sistem peperiksaan piawai. Biasanya, pembelajaran menumpukan kepada orientasi peperiksaan sahaja tanpa melibatkan kreativiti dan kebebasan pelajar. Pelajar – pelajar sepatutnya tidak diajar untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan semata-mata. Konsep kurikulum School In The Cloud memerlukan pelajar mencari sendiri ilmu pengetahuan untuk dipelajari sendiri. School In The Cloud merupakan sekolah maya di mana pelajar seharusnya mengeksplotasi pengetahuan secara kendiri dan kolaborasi dengan rakan pelajar yang lain secara maksimum. Sebagai seorang guru, mereka hanya menjadi seorang instruktor atau fasilitator sahaja. Penemuan beliau menunjukkan kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang kuat. Dengan menyediakan alatan yang sesuai pembelajaran boleh berlaku. Sugata berpendapat pembelajaran terjadi bukan dengan memaksa ia berlaku, sebaliknya membenarkan ia berlaku tanpa paksaan. Beliau juga memperkenalkan Self-organization educations (SOLEs) iaitu guru hanya berperanan untuk menyediakan proses pembelajaran dan hanya sebagai pemerhati untuk membiarkan proses pembelajaran berlaku. Peranan guru untuk merancang waktu pembelajaran dan menyediakan satu soalan yang dapat mencetuskan minat murid untuk menyelesaikannya. Kemudian membiarkan murid belajar sendiri dan berkongsi maklumat dengan mengajar rakan-rakan mereka.

Kebolehlaksanaan School In The Cloud di Malaysia

            Pada pandangan saya, pembelajaran masa hadapan ‘School in the Cloud’ boleh dilaksanakan di Malaysia. Ia selaras dengan transformasi pendidikan yang dibuat kerajaan melalui konsep Pendidikan Abad ke- 21.  Mungkin ia akan mengambil masa yang lama untuk merealisasikannya. Ini kerana sistem pembelajaran konvensional telah berlaku sejak sekian lama, untuk  mengubah sistem lama kepada sistem yang baru memerlukan masa dan usaha yang banyak. Oleh itu, guru perlu bersabar dalam melaksanakan sistem baru dan jika gagal guru perlu terus berusaha untuk merealisasikan penubuhan sistem ini.  Gabungan idea ini mampu melahirkan pelajar yang saintifik, berteknologi, dan mempunyai pemikiran kritis dalam mengharungi abad ke-21.  Walaupun School In the Cloud merupakan idea baru yang dicadangkan dalam dunia pendidikan, saya percaya ia mempunyai keupayaan dalam menjadikan sistem pendidikan kita berprestasi tinggi.. Idea School In The Cloud selari dengan anjakan yang 7 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Pendidikan School in the Cloud memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar dengan lebih seronok dan fleksibel. Sistem ini menekankan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelajar boleh mengakses maklumat dengan segera dan tepat. Pembelajaran akan lebih bersifat kontekstual dan menjadikan pembelajaran lebih bermakna. Persekitaran belajar yang lebih menyeronokkan, tidak formal dan menekankan kaedah pembelajaran kendiri. Murid di beri peluang untuk menstrukturkan sendiri proses pembelajaran mereka. Dari pembentukan kumpulan sehingga kepada penghantaran tugasan.   
                     
 Cabaran School in the Cloud di Malaysia 

            Perubahan dari sistem pengajaran secara tradisional kepada penggunaan komputer dan internet memerlukan guru yang mempunyai kepakaran yang mendalam bukan sahaja dalam subjek yang diajar malah haruslah mahir dalam bidang teknologi juga. Oleh itu, guru-guru haruslah dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran-kemahiran dalam pembelajaran abad ke-21 ini. Hal ini juga memerlukan kos yang tinggi. Selain itu, untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran secara School in the Cloud berjalan dengan lancar, pihak sekolah haruslah melengkapkan sekolah dengan peralatan teknologi maklumat dan capaian internet dan wi-fi dengan baik. Proses ini memerlukan peruntukan kos yang banyak untuk melengkapkannya. Selain itu, proses penyelenggaraan juga memerlukan kos yang besar serta tenaga kerja yang banyak.Tambahan pula, proses pelaksanaannya untuk pelajar-pelajar yang bersekolah di luar bandar dan pedalaman sukar dilaksanakan memandangkan kelengkapan teknologi maklumat dan internet yang kurang. Berdasarkan pandangan Profesor Sugata Mitra, pelajar yang kaya, mempunyai kelebihan untuk membeli komputer yang canggih dan melanggani internet. Bagi pelajar miskin, mereka kurang kemampuan untuk membeli peranti atau alat ICT untuk mengakses maklumat. Ini menjadikan pembelajaran School In the Cloud terbatas.

Kesimpulan


            Keseluruhannya, School in the Cloud merupakan satu konsep pendidikan abad ke 21 yang menarik dan memberi ruang yang terbuka kepada semua aspek untuk ‘pendidikan hari esok’. Walaubagaimanapun, sumbangan, perkongsian dan maklumbalas dari semua pendidik dari seluruh negara untuk menjadikan pendidikan Shcool in the Cloud menjadi realiti. School in the Cloud  seharusnya dirancang dan direka secara sistematik untuk mencipta pendidikan berteknologi tanpa sempadan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment