Saya percaya bahawa sekolah
merupakan institusi yang paling ideal dan penting untuk melahirkan modal insan
yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang menekankan
pentingnya pendidikan dan pembinaan insan yang holistik dan menyeluruh,
merangkumi aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani dalam domain kognitif,
afektif dan psikomotor. Sekolah merupakan sebuah masyarakat kecil di mana
nilai-nilai dan ciri-ciri kemanusiaan yang baik boleh dipupuk dan diterapkan
dalam kalangan pelajar. Sebagai seorang guru peranan saya adalah untuk memimpin
dan membimbing para pelajar saya ke arah mencapai hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan tersebut melalui program-program sekolah yang sihat dan kondusif
seperti melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Saya percaya sebagai seorang guru,
mengajar adalah tugas hakiki yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab
dan penuh keikhlasan untuk mendidik anak-anak bangsa dari semua peringkat umur
tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang mereka. Seorang guru yang
cemerlang adalah guru yang mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap
matapelajaran yang diajar sebagaimana yang terdapat di dalam teori pedagogi.
Seorang pendidik juga mesti membuat pilihan yang terbaik tentang apa dan
bagaimana untuk menstruktur dan mengorganisasi bahan-bahan pengajaran
sebagaimana yang dikehendaki di dalam sukatan kurikulum untuk melaksanakan apa
yang telah dihasratkan. Saya mesti tahu apa
yang patut diajar dan cara terbaik yang mesti dilakukan semasa mengajar supaya
pengajaran dan pembelajaran saya menjadi berkesan dan bermakna. Setiap pendidik
harus tahu mengenali pelajarnya dengan baik. Saya mesti sentiasa beringat
bahawa pelajar datang ke kelas untuk belajar bermula dari yang asas sebelum
mencapai peringkat yang lebih tinggi. Mengajar adalah proses untuk menggalakkan
pelajar menghubungkaitkan dunia sebenar dengan matapelajaran yang dipelajari.
Saya harus membimbing pelajar untuk mencapai apa yang ingin dicapai oleh
pelajar dan pelajar juga harus mendapat pengalaman baru, penerangan dan
kemahiran.
Proses pengajaran berlaku apabila
terdapat guru sebagai pengajar dan pelajar sebagai orang yang menerima dan
menginginkan ilmu. Tugas seorang guru bukan sahaja mengajar tentang subjek yang
telah dipilih atau mengikut bidang, tetapi merangkumi batasan pengajaran yang
mengajar erti mengenal hidup. Guru harus menerima hakikat walau sesiapa pun yang
menjadi pelajarnya harus dilayan seperti pelajar. Tiada pilih kasih dan harus
bersikap lebih optimis. Para pelajar kini datangnya bukan dengan otak kosong tetapi
kebanyakan berisi, walaupun tidak pasti isinya yang terdapat dalam pelbagai
bentuk. Hanya tinggal cara membawa pelajar ke arah landasan dan objektif yang
betul. Majoriti pelajar masih membawa sikap, pengaruh serta budaya daripada
rumah atau persekitaran luar sekolah. Aspek yang perlu diberi perhatian adalah
kesediaan mental dan fizikal pelajar untuk menerima ilmu yang berbeza. Berhadapan dengan tugas guru harus menyedari bahawa
pelajar adalah berbeza kebolehan mereka. Bukan semua dapat mengambil dan
memahami apa yang diajar. Melalui kaedah pengajaran yang pelbagai akan
menampakkan matlamat dalam proses pembelajaran. Matlamat saya sebagai seorang
guru ialah berupaya meningkatkan keupayaan pelajar dalam proses pembelajaran.
Pembelajaran merangkumi semasa berada di dalam kelas dan penglihatan
persekitaran luar daripada kelas. Didalam kelas pelajar didedahkan dengan
pengajaran tanpa pengalaman. Tetapi apabila diluar kelas pelajar boleh
mengaplikasikan apa yang diajar. Apabila terlaksana secara tidak langsung
matlamat pengajaran akan tercapai.
Peranan
seorang guru adalah sebagai pemudahcara. Saya perlu mengalakkan pelajar menjadi
pelajar yang boleh berdikari di dalam kelas. Walaubagaimanapun, saya sedar
pelajar belajar dalam pelbagai cara dan saya perlu komited terhadap penglibatan
pelajar di dalam proses pembelajaran. Saya perlu mempelbagaikan gaya, kaedah
dan strategi pengajaran dan melibatkan pelajar di dalam semua aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya semua pelajar berupaya untuk belajar
dan semua pelajar boleh menyumbang di dalam persekitaran kelas. Saya mesti
komited terhadap kejayaan pelajar dan saya dipertanggungjawabkan untuk
menjadikan matapelajaran yang diajar menyeronokkan. Saya juga mesti memastikan
penglibatan pelajar yang menyeluruh di dalam kelas. Saya percaya penglibatan
yang tinggi menjadi panduan terhadap pembelajaran yang bermakna dan saya
dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan mengalakkan penglibatan pelajar
di dalam kelas.
Saya
percaya kemahiran untuk menjadi guru yang berkesan boleh dibentuk. Penyeliaan
mengajar dan kursus di dalam perkhidmatan menjadi panduan untuk meningkatkan
tahap profesiensi saya. Saya mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang
luas untuk menjadi guru yang cekap. Walaupun menjadi guru yang cekap merupakan
tugas yang sukar namun saya mesti menerima tanggungjawab seorang guru sebagai
suatu cabaran.
No comments:
Post a Comment