SEKOLAH BESTARI (SMART SCHOOL)
1.0 Pengenalan
Sekolah Bestari (Smart School) merupakan satu
konsep sekolah di Malaysia. Konsep
ini akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan
hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin
setiap pelajar mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai
mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan
membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan. Perkembangan Sekolah
Bestari telah menjadi satu arah-aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak
dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari ini
merupakan sekolah satu-satunya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cerdik dan
berpengetahuan, dan dijangkakan akan mampu bersaing apabila menghadapi
cabaran-cabaran Wawasan Negara.
Bagi menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru
di sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, akan diberi latihan dalam
perkhidmatan, khasnya dalam bidang pedagogi untuk aktiviti pengajaran dan
pembelajaran melalui penggunaan teknologi terkini. Bagi sekolah-sekolah bestari
yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya akan dipilih oleh Ketua
Pasukan Bertugas Sekolah Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian
Pendidikan Malaysia. Pada peringkat permulaan, empat mata
pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,
diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknologi terkini sebagai
kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan
pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat
Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan,
Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada peringkat awal konsep sekolah bestari
diperkenalkan terdapat salah faham yang meluas dalam kalangan warga pendidik
dan ibu bapa yang menyangka sekolah bestari adalah sekolah yang mesti
menggunakan komputer dan kemudahan ICT. Padahal penggunaan ICT hanyalah
pemangkin dalam melaksanakan konsep bestari sedangkan terdapat banyak lagi faktor
ke arah pembestarian dalam persekolahan.
2.0 Masalah kewangan
Pelaksanaan projek sekolah bestari
memerlukan pembiayaan kewangan yang tinggi bagi membolehkan sekolah dibina
dengan kemudahan infrastruktur media, kemudahan sekolah, penyelenggaraan serta
latihan kepada guru-guru. Bukan itu sahaja, dengan melaksanakan sekolah
bestari, masa pembelajaran pelajar menjadi lebih lama berbanding pengajaran
secara tradisional.
2.1 Kemudahan Infrastruktur
Dalam pelaksanaan sekolah bestari
ini, wujud kelemahan di mana tidak semua pelajar mempunyai komputer di rumah.
Kekurangan ini menyebabkan ramai pelajar ketinggalan. Malah, tidak semua
pelajar mampu mengaplikasikan ilmu ICT yang dipelajari. Peluang yang diberikan
kepada pelajar perlu digunakan semaksimum mungkin kerana mereka berpeluang
membangunkan dan menyesuaikan kebolehan ICT di luar waktu persekolahan. Namun,
tidak semua pihak sekolah membenarkan pelajar berbuat demikian. Masalah ini
timbul kerana pentadbir mempunyai persepsi bahawa pelajar yang tidak mampu
menggunakan akan merosakkan kemudahan ICT yang dibekalkan di sekolah. Tindakan
ini menyalahi polisi dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang termaktub bagi
mewujudkan pelajar yang seimbang dan mampu menguruskan kehidupan selepas
menamatkan pengajian.
2.2 Kos Penyelenggaraan Tinggi
Masalah
menyelenggarakan teknologi maklumat ada kalanya menjejaskan proses pengajaran
dan pembelajaran. Ini berlaku kerana ada sebahagian sekolah bestari yang hanya
mempunyai seorang guru IT ataupun tidak mempunyai guru ynag mengkhusus dalam
bidang IT. Kos penyelenggaraan yang tinggi menimbulkan masalah kepada guru dan
pihak sekolah kerana masalah ini melibatkan wang, tenaga dan masa.
2.3 Pengetahuan dan Kepakaran Guru
Bagi menentukan keberkesanan dan
kejayaan Kementerian Pelajaran Malaysia , polisi teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) yang bertulis perlu supaya dapat membimbing guru-guru dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Walaupun begitu, tidak ramai guru dan staf
sekolah yang tahu, faham dan menyokong prinsip-prinsip polisi ini. Malah,
sehingga kini, guru-guru yang mengajar di Sekolah Bestari masih belum memahami
dengan sebaiknya konsep sebenar sekolah bestari. Oleh itu, Kementerian
Pelajaran Malaysia perlu menyebarkan risalah ataupun surat pekeliling yang
lebih khusus ke seluruh sekolah di Malaysia. Tindakan ini adalah langkah yang
baik bagi menyatakan hala tuju sebenar penubuhan sekolah bestari dan perkara
yang perlu dilaksanakan oleh pentadbiran sekolah dan pihak atasan iaitu pegawai
pendidikan. Bukan itu sahaja, sebaik-baiknya, Kementerian Pelajaran Malaysia
mengadakan bengkel atau seminar yang menerangkan tujuan penubuhan sekolah
bestari ini kepada guru-guru dan juga kakitangan sekolah. Konsep sekolah
bestari ini agak menyukarkan guru menyelaraskannya dengan tuntutan sukatan
pelajaran dan peperiksaan. Akibatnya, sebahagian guru mengambil masa pendidikan
jasmani untuk mengajar mata pelajaran lain yang lebih penting. Malah ada juga
guru yang menukar kaedah pengajaran mereka kepada format lama kerana sudah
ketinggalan jauh (Sharifah Md. Nor, 2002).
3.0 Kesimpulan
Konsep Sekolah Bestari dipautkan
secara terus dengan kadar penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Guru pula adalah tonggak sistem pendidikan berasaskan konsep ini. Sekolah
Bestari bergantung kepada guru bestari dan dengan itu guru perlu membestarikan
diri mereka sendiri. Sebenarnya, pembinaan dan pelaksanaan sekolah bestari
bertujuan mencapai hasrat dan mempercepatkan pencapaian wawasan 2020. Melalui
pelaksanan ini, kerajaan Malaysia mengharapakan lahirnya tenaga kerja yang
pakar dalam teknologi, masyarakat yang mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta
seimbang dari segi jasmani., emosi, rohani dan intelek. Selain itu, kerajaan
mahu melahirkan rakyat yang hidup dalam peerpaduan tanpa berpecah belah seperti
negara serantau lain.
No comments:
Post a Comment