Translate

Monday, 30 November 2015

SMART SCHOOL

SEKOLAH BESTARI (SMART SCHOOL)

1.0       Pengenalan
            Sekolah Bestari (Smart School) merupakan satu konsep sekolah di Malaysia. Konsep ini akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan. Perkembangan Sekolah Bestari telah menjadi satu arah-aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari ini merupakan sekolah satu-satunya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cerdik dan berpengetahuan, dan dijangkakan akan mampu bersaing apabila menghadapi cabaran-cabaran Wawasan Negara.
            Bagi menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru di sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, akan diberi latihan dalam perkhidmatan, khasnya dalam bidang pedagogi untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi terkini. Bagi sekolah-sekolah bestari yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya akan dipilih oleh Ketua Pasukan Bertugas Sekolah Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.    Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknologi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada peringkat awal konsep sekolah bestari diperkenalkan terdapat salah faham yang meluas dalam kalangan warga pendidik dan ibu bapa yang menyangka sekolah bestari adalah sekolah yang mesti menggunakan komputer dan kemudahan ICT. Padahal penggunaan ICT hanyalah pemangkin dalam melaksanakan konsep bestari sedangkan terdapat banyak lagi faktor ke arah pembestarian dalam persekolahan.


2.0       Masalah kewangan
            Pelaksanaan projek sekolah bestari memerlukan pembiayaan kewangan yang tinggi bagi membolehkan sekolah dibina dengan kemudahan infrastruktur media, kemudahan sekolah, penyelenggaraan serta latihan kepada guru-guru. Bukan itu sahaja, dengan melaksanakan sekolah bestari, masa pembelajaran pelajar menjadi lebih lama berbanding pengajaran secara tradisional.

2.1       Kemudahan Infrastruktur
            Dalam pelaksanaan sekolah bestari ini, wujud kelemahan di mana tidak semua pelajar mempunyai komputer di rumah. Kekurangan ini menyebabkan ramai pelajar ketinggalan. Malah, tidak semua pelajar mampu mengaplikasikan ilmu ICT yang dipelajari. Peluang yang diberikan kepada pelajar perlu digunakan semaksimum mungkin kerana mereka berpeluang membangunkan dan menyesuaikan kebolehan ICT di luar waktu persekolahan. Namun, tidak semua pihak sekolah membenarkan pelajar berbuat demikian. Masalah ini timbul kerana pentadbir mempunyai persepsi bahawa pelajar yang tidak mampu menggunakan akan merosakkan kemudahan ICT yang dibekalkan di sekolah. Tindakan ini menyalahi polisi dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang termaktub bagi mewujudkan pelajar yang seimbang dan mampu menguruskan kehidupan selepas menamatkan pengajian.

2.2       Kos Penyelenggaraan Tinggi
            Masalah menyelenggarakan teknologi maklumat ada kalanya menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran. Ini berlaku kerana ada sebahagian sekolah bestari yang hanya mempunyai seorang guru IT ataupun tidak mempunyai guru ynag mengkhusus dalam bidang IT. Kos penyelenggaraan yang tinggi menimbulkan masalah kepada guru dan pihak sekolah kerana masalah ini melibatkan wang, tenaga dan masa.

2.3       Pengetahuan dan Kepakaran Guru
            Bagi menentukan keberkesanan dan kejayaan Kementerian Pelajaran Malaysia , polisi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang bertulis perlu supaya dapat membimbing guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walaupun begitu, tidak ramai guru dan staf sekolah yang tahu, faham dan menyokong prinsip-prinsip polisi ini. Malah, sehingga kini, guru-guru yang mengajar di Sekolah Bestari masih belum memahami dengan sebaiknya konsep sebenar sekolah bestari. Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menyebarkan risalah ataupun surat pekeliling yang lebih khusus ke seluruh sekolah di Malaysia. Tindakan ini adalah langkah yang baik bagi menyatakan hala tuju sebenar penubuhan sekolah bestari dan perkara yang perlu dilaksanakan oleh pentadbiran sekolah dan pihak atasan iaitu pegawai pendidikan. Bukan itu sahaja, sebaik-baiknya, Kementerian Pelajaran Malaysia mengadakan bengkel atau seminar yang menerangkan tujuan penubuhan sekolah bestari ini kepada guru-guru dan juga kakitangan sekolah. Konsep sekolah bestari ini agak menyukarkan guru menyelaraskannya dengan tuntutan sukatan pelajaran dan peperiksaan. Akibatnya, sebahagian guru mengambil masa pendidikan jasmani untuk mengajar mata pelajaran lain yang lebih penting. Malah ada juga guru yang menukar kaedah pengajaran mereka kepada format lama kerana sudah ketinggalan jauh (Sharifah Md. Nor, 2002).

3.0       Kesimpulan   

            Konsep Sekolah Bestari dipautkan secara terus dengan kadar penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru pula adalah tonggak sistem pendidikan berasaskan konsep ini. Sekolah Bestari bergantung kepada guru bestari dan dengan itu guru perlu membestarikan diri mereka sendiri. Sebenarnya, pembinaan dan pelaksanaan sekolah bestari bertujuan mencapai hasrat dan mempercepatkan pencapaian wawasan 2020. Melalui pelaksanan ini, kerajaan Malaysia mengharapakan lahirnya tenaga kerja yang pakar dalam teknologi, masyarakat yang mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta seimbang dari segi jasmani., emosi, rohani dan intelek. Selain itu, kerajaan mahu melahirkan rakyat yang hidup dalam peerpaduan tanpa berpecah belah seperti negara serantau lain. 
School In The Cloud


Konsep School In The Cloud

            School In The Cloud merupakan idea pendidikan pada masa hadapan hasil daripada dapatan Profesor Sugata Mitra yang merupakan seorang penyelidik pendidikan di India. Beliau berpendapat bahawa sistem sekolah sedia ada sudah ketinggalan dan sekolah hanya melahirkan pelajar yang mempunyai satu identiti sahaja. Kreativiti pelajar telah diragut dengan sistem peperiksaan piawai. Biasanya, pembelajaran menumpukan kepada orientasi peperiksaan sahaja tanpa melibatkan kreativiti dan kebebasan pelajar. Pelajar – pelajar sepatutnya tidak diajar untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan semata-mata. Konsep kurikulum School In The Cloud memerlukan pelajar mencari sendiri ilmu pengetahuan untuk dipelajari sendiri. School In The Cloud merupakan sekolah maya di mana pelajar seharusnya mengeksplotasi pengetahuan secara kendiri dan kolaborasi dengan rakan pelajar yang lain secara maksimum. Sebagai seorang guru, mereka hanya menjadi seorang instruktor atau fasilitator sahaja. Penemuan beliau menunjukkan kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang kuat. Dengan menyediakan alatan yang sesuai pembelajaran boleh berlaku. Sugata berpendapat pembelajaran terjadi bukan dengan memaksa ia berlaku, sebaliknya membenarkan ia berlaku tanpa paksaan. Beliau juga memperkenalkan Self-organization educations (SOLEs) iaitu guru hanya berperanan untuk menyediakan proses pembelajaran dan hanya sebagai pemerhati untuk membiarkan proses pembelajaran berlaku. Peranan guru untuk merancang waktu pembelajaran dan menyediakan satu soalan yang dapat mencetuskan minat murid untuk menyelesaikannya. Kemudian membiarkan murid belajar sendiri dan berkongsi maklumat dengan mengajar rakan-rakan mereka.

Kebolehlaksanaan School In The Cloud di Malaysia

            Pada pandangan saya, pembelajaran masa hadapan ‘School in the Cloud’ boleh dilaksanakan di Malaysia. Ia selaras dengan transformasi pendidikan yang dibuat kerajaan melalui konsep Pendidikan Abad ke- 21.  Mungkin ia akan mengambil masa yang lama untuk merealisasikannya. Ini kerana sistem pembelajaran konvensional telah berlaku sejak sekian lama, untuk  mengubah sistem lama kepada sistem yang baru memerlukan masa dan usaha yang banyak. Oleh itu, guru perlu bersabar dalam melaksanakan sistem baru dan jika gagal guru perlu terus berusaha untuk merealisasikan penubuhan sistem ini.  Gabungan idea ini mampu melahirkan pelajar yang saintifik, berteknologi, dan mempunyai pemikiran kritis dalam mengharungi abad ke-21.  Walaupun School In the Cloud merupakan idea baru yang dicadangkan dalam dunia pendidikan, saya percaya ia mempunyai keupayaan dalam menjadikan sistem pendidikan kita berprestasi tinggi.. Idea School In The Cloud selari dengan anjakan yang 7 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Pendidikan School in the Cloud memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar dengan lebih seronok dan fleksibel. Sistem ini menekankan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelajar boleh mengakses maklumat dengan segera dan tepat. Pembelajaran akan lebih bersifat kontekstual dan menjadikan pembelajaran lebih bermakna. Persekitaran belajar yang lebih menyeronokkan, tidak formal dan menekankan kaedah pembelajaran kendiri. Murid di beri peluang untuk menstrukturkan sendiri proses pembelajaran mereka. Dari pembentukan kumpulan sehingga kepada penghantaran tugasan.      
                  
 Cabaran School in the Cloud di Malaysia 

            Perubahan dari sistem pengajaran secara tradisional kepada penggunaan komputer dan internet memerlukan guru yang mempunyai kepakaran yang mendalam bukan sahaja dalam subjek yang diajar malah haruslah mahir dalam bidang teknologi juga. Oleh itu, guru-guru haruslah dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran-kemahiran dalam pembelajaran abad ke-21 ini. Hal ini juga memerlukan kos yang tinggi. Selain itu, untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran secara School in the Cloud berjalan dengan lancar, pihak sekolah haruslah melengkapkan sekolah dengan peralatan teknologi maklumat dan capaian internet dan wi-fi dengan baik. Proses ini memerlukan peruntukan kos yang banyak untuk melengkapkannya. Selain itu, proses penyelenggaraan juga memerlukan kos yang besar serta tenaga kerja yang banyak.Tambahan pula, proses pelaksanaannya untuk pelajar-pelajar yang bersekolah di luar bandar dan pedalaman sukar dilaksanakan memandangkan kelengkapan teknologi maklumat dan internet yang kurang. Berdasarkan pandangan Profesor Sugata Mitra, pelajar yang kaya, mempunyai kelebihan untuk membeli komputer yang canggih dan melanggani internet. Bagi pelajar miskin, mereka kurang kemampuan untuk membeli peranti atau alat ICT untuk mengakses maklumat. Ini menjadikan pembelajaran School In the Cloud terbatas.

Kesimpulan


            Keseluruhannya, School in the Cloud merupakan satu konsep pendidikan abad ke 21 yang menarik dan memberi ruang yang terbuka kepada semua aspek untuk ‘pendidikan hari esok’. Walaubagaimanapun, sumbangan, perkongsian dan maklumbalas dari semua pendidik dari seluruh negara untuk menjadikan pendidikan Shcool in the Cloud menjadi realiti. School in the Cloud  seharusnya dirancang dan direka secara sistematik untuk mencipta pendidikan berteknologi tanpa sempadan pada masa akan datang.