Translate

Friday, 30 October 2015

FALSAFAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAYA


            Saya percaya bahawa sekolah merupakan institusi yang paling ideal dan penting untuk melahirkan modal insan yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang menekankan pentingnya pendidikan dan pembinaan insan yang holistik dan menyeluruh, merangkumi aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor. Sekolah merupakan sebuah masyarakat kecil di mana nilai-nilai dan ciri-ciri kemanusiaan yang baik boleh dipupuk dan diterapkan dalam kalangan pelajar. Sebagai seorang guru peranan saya adalah untuk memimpin dan membimbing para pelajar saya ke arah mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tersebut melalui program-program sekolah yang sihat dan kondusif seperti melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
            Saya percaya sebagai seorang guru, mengajar adalah tugas hakiki yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan penuh keikhlasan untuk mendidik anak-anak bangsa dari semua peringkat umur tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang mereka. Seorang guru yang cemerlang adalah guru yang mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap matapelajaran yang diajar sebagaimana yang terdapat di dalam teori pedagogi. Seorang pendidik juga mesti membuat pilihan yang terbaik tentang apa dan bagaimana untuk menstruktur dan mengorganisasi bahan-bahan pengajaran sebagaimana yang dikehendaki di dalam sukatan kurikulum untuk melaksanakan apa yang telah dihasratkan. Saya mesti tahu apa yang patut diajar dan cara terbaik yang mesti dilakukan semasa mengajar supaya pengajaran dan pembelajaran saya menjadi berkesan dan bermakna. Setiap pendidik harus tahu mengenali pelajarnya dengan baik. Saya mesti sentiasa beringat bahawa pelajar datang ke kelas untuk belajar bermula dari yang asas sebelum mencapai peringkat yang lebih tinggi. Mengajar adalah proses untuk menggalakkan pelajar menghubungkaitkan dunia sebenar dengan matapelajaran yang dipelajari. Saya harus membimbing pelajar untuk mencapai apa yang ingin dicapai oleh pelajar dan pelajar juga harus mendapat pengalaman baru, penerangan dan kemahiran.
            Proses pengajaran berlaku apabila terdapat guru sebagai pengajar dan pelajar sebagai orang yang menerima dan menginginkan ilmu. Tugas seorang guru bukan sahaja mengajar tentang subjek yang telah dipilih atau mengikut bidang, tetapi merangkumi batasan pengajaran yang mengajar erti mengenal hidup. Guru harus menerima hakikat walau sesiapa pun yang menjadi pelajarnya harus dilayan seperti pelajar. Tiada pilih kasih dan harus bersikap lebih optimis. Para pelajar kini datangnya bukan dengan otak kosong tetapi kebanyakan berisi, walaupun tidak pasti isinya yang terdapat dalam pelbagai bentuk. Hanya tinggal cara membawa pelajar ke arah landasan dan objektif yang betul. Majoriti pelajar masih membawa sikap, pengaruh serta budaya daripada rumah atau persekitaran luar sekolah. Aspek yang perlu diberi perhatian adalah kesediaan mental dan fizikal pelajar untuk menerima ilmu yang berbeza. Berhadapan dengan tugas guru harus menyedari bahawa pelajar adalah berbeza kebolehan mereka. Bukan semua dapat mengambil dan memahami apa yang diajar. Melalui kaedah pengajaran yang pelbagai akan menampakkan matlamat dalam proses pembelajaran. Matlamat saya sebagai seorang guru ialah berupaya meningkatkan keupayaan pelajar dalam proses pembelajaran. Pembelajaran merangkumi semasa berada di dalam kelas dan penglihatan persekitaran luar daripada kelas. Didalam kelas pelajar didedahkan dengan pengajaran tanpa pengalaman. Tetapi apabila diluar kelas pelajar boleh mengaplikasikan apa yang diajar. Apabila terlaksana secara tidak langsung matlamat pengajaran akan tercapai.
            Peranan seorang guru adalah sebagai pemudahcara. Saya perlu mengalakkan pelajar menjadi pelajar yang boleh berdikari di dalam kelas. Walaubagaimanapun, saya sedar pelajar belajar dalam pelbagai cara dan saya perlu komited terhadap penglibatan pelajar di dalam proses pembelajaran. Saya perlu mempelbagaikan gaya, kaedah dan strategi pengajaran dan melibatkan pelajar di dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya semua pelajar berupaya untuk belajar dan semua pelajar boleh menyumbang di dalam persekitaran kelas. Saya mesti komited terhadap kejayaan pelajar dan saya dipertanggungjawabkan untuk menjadikan matapelajaran yang diajar menyeronokkan. Saya juga mesti memastikan penglibatan pelajar yang menyeluruh di dalam kelas. Saya percaya penglibatan yang tinggi menjadi panduan terhadap pembelajaran yang bermakna dan saya dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan mengalakkan penglibatan pelajar di dalam kelas.

            Saya percaya kemahiran untuk menjadi guru yang berkesan boleh dibentuk. Penyeliaan mengajar dan kursus di dalam perkhidmatan menjadi panduan untuk meningkatkan tahap profesiensi saya. Saya mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang luas untuk menjadi guru yang cekap. Walaupun menjadi guru yang cekap merupakan tugas yang sukar namun saya mesti menerima tanggungjawab seorang guru sebagai suatu cabaran. 

Saturday, 3 October 2015

About Me


Nama saya Shahidan Bin Sidek. Dilahirkan di Hospital Besar Seremban ( sekarang dikenali sebagai Hospital Tuanku Jaafar) pada 11 Julai 1982. Anak ketiga daripada 4 orang adik-beradik lelaki. Membesar dalam keluarga peneroka yang serba kekurangan di Felda Jelai 2.  Kedua-dua insan yang bersusah payah membesarkan dan mendidik kami 4 beradik lebih disayangi oleh yang Maha Pencipta. Abah pergi pada tahun 2005 diikuti oleh emak pada tahun 2009. Al-Fatihah.

Sekarang bekerja sebagai guru di SMK Undang Rembau dan menetap di Rembau, Negeri Sembilan sejak  Januari 2008 sehingga kini. Sebelum itu saya pernah berkhidmat sebagai guru sandaran di bawah Jabatan Hal Ehwal Negeri Sembilan di SMA Dato’ Klana Petra Maamor, Ampangan (2005) dan SMRA Nilai (2006-2007). Saya telah mendirikan rumahtangga dengan pilihan hati, Nurul Azilah binti Sulaiman pada tanggal 28 November 2014 dan Alhamdulillah telah dikurniakan seorang puteri bernama Saidatul Najad pada 5 September 2015.

Sejak di bangku sekolah saya meminati subjek matematik dan lukisan, seterusnya membawa saya memilih bidang kejuruteraan  di sekolah teknik sehingga ke universiti. Saya ringkaskan sejarah pendidikan saya seperti dibawah :

1989-1993: Sekolah Kebangsaan Jelai 1 (F), Gemas, N. Sembilan
1994 : Sekolah Kebangsaan Jelai 3 (F), Gemas, N. Sembilan. – UPSR
1995-1997: Sekolah Dato’ Sheikh Ahmad, Seremban, N. Sembilan. – PMR
1998-1999: Sekolah Menengah Teknik Tuanku Ja’afar, Seremban, N. Sembilan. – SPM
2000-2004: Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO-sekarang UTHM), Batu Pahat, Johor. –Diploma Kejuruteraan Mekanikal beserta Kemahiran dan Pendidikan.
2012-sekarang: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. – Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik (Sek. Men.) beserta Kepujian.

Antara impian saya dalam hidup ialah terus menjalankan pekerjaan yang diminati, menjalani kebebasan hidup dan memiliki kewangan yang stabil bersama orang-orang tersayang di samping tidak lupa kejayaan di destinasi yang kekal abadi kelak. Amin.