Translate
Sunday, 6 December 2015
Monday, 30 November 2015
SMART SCHOOL
SEKOLAH BESTARI (SMART SCHOOL)
1.0 Pengenalan
Sekolah Bestari (Smart School) merupakan satu
konsep sekolah di Malaysia. Konsep
ini akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan
hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin
setiap pelajar mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai
mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan
membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan. Perkembangan Sekolah
Bestari telah menjadi satu arah-aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak
dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari ini
merupakan sekolah satu-satunya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cerdik dan
berpengetahuan, dan dijangkakan akan mampu bersaing apabila menghadapi
cabaran-cabaran Wawasan Negara.
Bagi menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru
di sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, akan diberi latihan dalam
perkhidmatan, khasnya dalam bidang pedagogi untuk aktiviti pengajaran dan
pembelajaran melalui penggunaan teknologi terkini. Bagi sekolah-sekolah bestari
yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya akan dipilih oleh Ketua
Pasukan Bertugas Sekolah Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian
Pendidikan Malaysia. Pada peringkat permulaan, empat mata
pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,
diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknologi terkini sebagai
kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan
pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat
Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan,
Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada peringkat awal konsep sekolah bestari
diperkenalkan terdapat salah faham yang meluas dalam kalangan warga pendidik
dan ibu bapa yang menyangka sekolah bestari adalah sekolah yang mesti
menggunakan komputer dan kemudahan ICT. Padahal penggunaan ICT hanyalah
pemangkin dalam melaksanakan konsep bestari sedangkan terdapat banyak lagi faktor
ke arah pembestarian dalam persekolahan.
2.0 Masalah kewangan
Pelaksanaan projek sekolah bestari
memerlukan pembiayaan kewangan yang tinggi bagi membolehkan sekolah dibina
dengan kemudahan infrastruktur media, kemudahan sekolah, penyelenggaraan serta
latihan kepada guru-guru. Bukan itu sahaja, dengan melaksanakan sekolah
bestari, masa pembelajaran pelajar menjadi lebih lama berbanding pengajaran
secara tradisional.
2.1 Kemudahan Infrastruktur
Dalam pelaksanaan sekolah bestari
ini, wujud kelemahan di mana tidak semua pelajar mempunyai komputer di rumah.
Kekurangan ini menyebabkan ramai pelajar ketinggalan. Malah, tidak semua
pelajar mampu mengaplikasikan ilmu ICT yang dipelajari. Peluang yang diberikan
kepada pelajar perlu digunakan semaksimum mungkin kerana mereka berpeluang
membangunkan dan menyesuaikan kebolehan ICT di luar waktu persekolahan. Namun,
tidak semua pihak sekolah membenarkan pelajar berbuat demikian. Masalah ini
timbul kerana pentadbir mempunyai persepsi bahawa pelajar yang tidak mampu
menggunakan akan merosakkan kemudahan ICT yang dibekalkan di sekolah. Tindakan
ini menyalahi polisi dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang termaktub bagi
mewujudkan pelajar yang seimbang dan mampu menguruskan kehidupan selepas
menamatkan pengajian.
2.2 Kos Penyelenggaraan Tinggi
Masalah
menyelenggarakan teknologi maklumat ada kalanya menjejaskan proses pengajaran
dan pembelajaran. Ini berlaku kerana ada sebahagian sekolah bestari yang hanya
mempunyai seorang guru IT ataupun tidak mempunyai guru ynag mengkhusus dalam
bidang IT. Kos penyelenggaraan yang tinggi menimbulkan masalah kepada guru dan
pihak sekolah kerana masalah ini melibatkan wang, tenaga dan masa.
2.3 Pengetahuan dan Kepakaran Guru
Bagi menentukan keberkesanan dan
kejayaan Kementerian Pelajaran Malaysia , polisi teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT) yang bertulis perlu supaya dapat membimbing guru-guru dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Walaupun begitu, tidak ramai guru dan staf
sekolah yang tahu, faham dan menyokong prinsip-prinsip polisi ini. Malah,
sehingga kini, guru-guru yang mengajar di Sekolah Bestari masih belum memahami
dengan sebaiknya konsep sebenar sekolah bestari. Oleh itu, Kementerian
Pelajaran Malaysia perlu menyebarkan risalah ataupun surat pekeliling yang
lebih khusus ke seluruh sekolah di Malaysia. Tindakan ini adalah langkah yang
baik bagi menyatakan hala tuju sebenar penubuhan sekolah bestari dan perkara
yang perlu dilaksanakan oleh pentadbiran sekolah dan pihak atasan iaitu pegawai
pendidikan. Bukan itu sahaja, sebaik-baiknya, Kementerian Pelajaran Malaysia
mengadakan bengkel atau seminar yang menerangkan tujuan penubuhan sekolah
bestari ini kepada guru-guru dan juga kakitangan sekolah. Konsep sekolah
bestari ini agak menyukarkan guru menyelaraskannya dengan tuntutan sukatan
pelajaran dan peperiksaan. Akibatnya, sebahagian guru mengambil masa pendidikan
jasmani untuk mengajar mata pelajaran lain yang lebih penting. Malah ada juga
guru yang menukar kaedah pengajaran mereka kepada format lama kerana sudah
ketinggalan jauh (Sharifah Md. Nor, 2002).
3.0 Kesimpulan
Konsep Sekolah Bestari dipautkan
secara terus dengan kadar penggunaan ICT di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Guru pula adalah tonggak sistem pendidikan berasaskan konsep ini. Sekolah
Bestari bergantung kepada guru bestari dan dengan itu guru perlu membestarikan
diri mereka sendiri. Sebenarnya, pembinaan dan pelaksanaan sekolah bestari
bertujuan mencapai hasrat dan mempercepatkan pencapaian wawasan 2020. Melalui
pelaksanan ini, kerajaan Malaysia mengharapakan lahirnya tenaga kerja yang
pakar dalam teknologi, masyarakat yang mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta
seimbang dari segi jasmani., emosi, rohani dan intelek. Selain itu, kerajaan
mahu melahirkan rakyat yang hidup dalam peerpaduan tanpa berpecah belah seperti
negara serantau lain.
School In The Cloud
Konsep School In The Cloud
School In The Cloud merupakan idea pendidikan pada masa
hadapan hasil daripada dapatan Profesor Sugata Mitra yang merupakan seorang
penyelidik pendidikan di India. Beliau berpendapat bahawa sistem sekolah sedia
ada sudah ketinggalan dan sekolah hanya melahirkan pelajar yang mempunyai satu
identiti sahaja. Kreativiti pelajar telah diragut dengan sistem peperiksaan
piawai. Biasanya, pembelajaran menumpukan kepada orientasi peperiksaan sahaja
tanpa melibatkan kreativiti dan kebebasan pelajar. Pelajar – pelajar sepatutnya
tidak diajar untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan semata-mata. Konsep kurikulum School In
The Cloud memerlukan pelajar mencari sendiri ilmu pengetahuan untuk dipelajari
sendiri. School In The Cloud merupakan sekolah maya di mana pelajar seharusnya
mengeksplotasi pengetahuan secara kendiri dan kolaborasi dengan rakan pelajar
yang lain secara maksimum. Sebagai seorang guru, mereka hanya menjadi seorang
instruktor atau fasilitator sahaja. Penemuan beliau
menunjukkan kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang kuat. Dengan
menyediakan alatan yang sesuai pembelajaran boleh berlaku. Sugata berpendapat
pembelajaran terjadi bukan dengan memaksa ia berlaku, sebaliknya membenarkan ia
berlaku tanpa paksaan. Beliau juga memperkenalkan Self-organization educations
(SOLEs) iaitu guru hanya berperanan untuk menyediakan proses pembelajaran dan
hanya sebagai pemerhati untuk membiarkan proses pembelajaran berlaku. Peranan
guru untuk merancang waktu pembelajaran dan menyediakan satu soalan yang dapat
mencetuskan minat murid untuk menyelesaikannya. Kemudian membiarkan murid
belajar sendiri dan berkongsi maklumat dengan mengajar rakan-rakan mereka.
Kebolehlaksanaan School In The Cloud di Malaysia
Pada pandangan saya, pembelajaran masa hadapan ‘School
in the Cloud’ boleh dilaksanakan di Malaysia. Ia selaras dengan transformasi
pendidikan yang dibuat kerajaan melalui konsep Pendidikan Abad ke- 21. Mungkin ia akan mengambil masa yang lama
untuk merealisasikannya. Ini kerana sistem pembelajaran konvensional telah
berlaku sejak sekian lama, untuk
mengubah sistem lama kepada sistem yang baru memerlukan masa dan usaha
yang banyak. Oleh itu, guru perlu bersabar dalam melaksanakan sistem baru dan
jika gagal guru perlu terus berusaha untuk merealisasikan penubuhan sistem ini. Gabungan idea ini mampu melahirkan
pelajar yang saintifik, berteknologi, dan mempunyai pemikiran kritis dalam
mengharungi abad ke-21. Walaupun School
In the Cloud merupakan idea baru yang dicadangkan dalam dunia pendidikan, saya
percaya ia mempunyai keupayaan dalam menjadikan sistem pendidikan kita
berprestasi tinggi.. Idea School In The Cloud selari dengan anjakan yang 7
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia iaitu memanfaatkan ICT bagi
meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Pendidikan School in the Cloud
memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar dengan lebih seronok dan
fleksibel. Sistem ini menekankan
penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Pelajar boleh mengakses maklumat dengan segera dan
tepat. Pembelajaran akan lebih bersifat kontekstual dan menjadikan pembelajaran
lebih bermakna. Persekitaran
belajar yang lebih menyeronokkan, tidak formal dan menekankan kaedah
pembelajaran kendiri. Murid di beri peluang untuk menstrukturkan sendiri proses
pembelajaran mereka. Dari pembentukan kumpulan sehingga kepada penghantaran
tugasan.
Cabaran School in the Cloud di
Malaysia
Perubahan dari sistem pengajaran
secara tradisional kepada penggunaan komputer dan internet memerlukan guru yang
mempunyai kepakaran yang mendalam bukan sahaja dalam subjek yang diajar malah
haruslah mahir dalam bidang teknologi juga. Oleh itu, guru-guru haruslah dilengkapkan
dengan ilmu dan kemahiran-kemahiran dalam pembelajaran abad ke-21 ini. Hal ini
juga memerlukan kos yang tinggi. Selain itu, untuk memastikan proses pengajaran
dan pembelajaran secara School in the Cloud berjalan dengan lancar, pihak
sekolah haruslah melengkapkan sekolah dengan peralatan teknologi maklumat dan
capaian internet dan wi-fi dengan baik. Proses ini memerlukan peruntukan kos
yang banyak untuk melengkapkannya. Selain itu, proses penyelenggaraan juga
memerlukan kos yang besar serta tenaga kerja yang banyak.Tambahan pula, proses
pelaksanaannya untuk pelajar-pelajar yang bersekolah di luar bandar dan
pedalaman sukar dilaksanakan memandangkan kelengkapan teknologi maklumat dan
internet yang kurang. Berdasarkan pandangan
Profesor Sugata Mitra, pelajar yang kaya, mempunyai kelebihan untuk membeli
komputer yang canggih dan melanggani internet. Bagi pelajar miskin, mereka
kurang kemampuan untuk membeli peranti atau alat ICT untuk mengakses
maklumat. Ini menjadikan pembelajaran School In the Cloud terbatas.
Kesimpulan
Keseluruhannya,
School in the Cloud merupakan satu konsep pendidikan abad ke 21 yang menarik
dan memberi ruang yang terbuka kepada semua aspek untuk ‘pendidikan hari esok’.
Walaubagaimanapun, sumbangan, perkongsian dan maklumbalas dari semua pendidik
dari seluruh negara untuk menjadikan pendidikan Shcool in the Cloud menjadi
realiti. School in the Cloud seharusnya dirancang dan direka secara
sistematik untuk mencipta pendidikan berteknologi tanpa sempadan pada masa akan
datang.
Saturday, 31 October 2015
Friday, 30 October 2015
FALSAFAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAYA
Saya percaya bahawa sekolah
merupakan institusi yang paling ideal dan penting untuk melahirkan modal insan
yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang menekankan
pentingnya pendidikan dan pembinaan insan yang holistik dan menyeluruh,
merangkumi aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani dalam domain kognitif,
afektif dan psikomotor. Sekolah merupakan sebuah masyarakat kecil di mana
nilai-nilai dan ciri-ciri kemanusiaan yang baik boleh dipupuk dan diterapkan
dalam kalangan pelajar. Sebagai seorang guru peranan saya adalah untuk memimpin
dan membimbing para pelajar saya ke arah mencapai hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan tersebut melalui program-program sekolah yang sihat dan kondusif
seperti melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Saya percaya sebagai seorang guru,
mengajar adalah tugas hakiki yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab
dan penuh keikhlasan untuk mendidik anak-anak bangsa dari semua peringkat umur
tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang mereka. Seorang guru yang
cemerlang adalah guru yang mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap
matapelajaran yang diajar sebagaimana yang terdapat di dalam teori pedagogi.
Seorang pendidik juga mesti membuat pilihan yang terbaik tentang apa dan
bagaimana untuk menstruktur dan mengorganisasi bahan-bahan pengajaran
sebagaimana yang dikehendaki di dalam sukatan kurikulum untuk melaksanakan apa
yang telah dihasratkan. Saya mesti tahu apa
yang patut diajar dan cara terbaik yang mesti dilakukan semasa mengajar supaya
pengajaran dan pembelajaran saya menjadi berkesan dan bermakna. Setiap pendidik
harus tahu mengenali pelajarnya dengan baik. Saya mesti sentiasa beringat
bahawa pelajar datang ke kelas untuk belajar bermula dari yang asas sebelum
mencapai peringkat yang lebih tinggi. Mengajar adalah proses untuk menggalakkan
pelajar menghubungkaitkan dunia sebenar dengan matapelajaran yang dipelajari.
Saya harus membimbing pelajar untuk mencapai apa yang ingin dicapai oleh
pelajar dan pelajar juga harus mendapat pengalaman baru, penerangan dan
kemahiran.
Proses pengajaran berlaku apabila
terdapat guru sebagai pengajar dan pelajar sebagai orang yang menerima dan
menginginkan ilmu. Tugas seorang guru bukan sahaja mengajar tentang subjek yang
telah dipilih atau mengikut bidang, tetapi merangkumi batasan pengajaran yang
mengajar erti mengenal hidup. Guru harus menerima hakikat walau sesiapa pun yang
menjadi pelajarnya harus dilayan seperti pelajar. Tiada pilih kasih dan harus
bersikap lebih optimis. Para pelajar kini datangnya bukan dengan otak kosong tetapi
kebanyakan berisi, walaupun tidak pasti isinya yang terdapat dalam pelbagai
bentuk. Hanya tinggal cara membawa pelajar ke arah landasan dan objektif yang
betul. Majoriti pelajar masih membawa sikap, pengaruh serta budaya daripada
rumah atau persekitaran luar sekolah. Aspek yang perlu diberi perhatian adalah
kesediaan mental dan fizikal pelajar untuk menerima ilmu yang berbeza. Berhadapan dengan tugas guru harus menyedari bahawa
pelajar adalah berbeza kebolehan mereka. Bukan semua dapat mengambil dan
memahami apa yang diajar. Melalui kaedah pengajaran yang pelbagai akan
menampakkan matlamat dalam proses pembelajaran. Matlamat saya sebagai seorang
guru ialah berupaya meningkatkan keupayaan pelajar dalam proses pembelajaran.
Pembelajaran merangkumi semasa berada di dalam kelas dan penglihatan
persekitaran luar daripada kelas. Didalam kelas pelajar didedahkan dengan
pengajaran tanpa pengalaman. Tetapi apabila diluar kelas pelajar boleh
mengaplikasikan apa yang diajar. Apabila terlaksana secara tidak langsung
matlamat pengajaran akan tercapai.
Peranan
seorang guru adalah sebagai pemudahcara. Saya perlu mengalakkan pelajar menjadi
pelajar yang boleh berdikari di dalam kelas. Walaubagaimanapun, saya sedar
pelajar belajar dalam pelbagai cara dan saya perlu komited terhadap penglibatan
pelajar di dalam proses pembelajaran. Saya perlu mempelbagaikan gaya, kaedah
dan strategi pengajaran dan melibatkan pelajar di dalam semua aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya semua pelajar berupaya untuk belajar
dan semua pelajar boleh menyumbang di dalam persekitaran kelas. Saya mesti
komited terhadap kejayaan pelajar dan saya dipertanggungjawabkan untuk
menjadikan matapelajaran yang diajar menyeronokkan. Saya juga mesti memastikan
penglibatan pelajar yang menyeluruh di dalam kelas. Saya percaya penglibatan
yang tinggi menjadi panduan terhadap pembelajaran yang bermakna dan saya
dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan mengalakkan penglibatan pelajar
di dalam kelas.
Saya
percaya kemahiran untuk menjadi guru yang berkesan boleh dibentuk. Penyeliaan
mengajar dan kursus di dalam perkhidmatan menjadi panduan untuk meningkatkan
tahap profesiensi saya. Saya mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang
luas untuk menjadi guru yang cekap. Walaupun menjadi guru yang cekap merupakan
tugas yang sukar namun saya mesti menerima tanggungjawab seorang guru sebagai
suatu cabaran.
Saturday, 24 October 2015
Saturday, 3 October 2015
About Me
Nama saya Shahidan Bin Sidek. Dilahirkan di
Hospital Besar Seremban ( sekarang dikenali sebagai Hospital Tuanku Jaafar)
pada 11 Julai 1982. Anak ketiga daripada 4 orang adik-beradik lelaki. Membesar
dalam keluarga peneroka yang serba kekurangan di Felda Jelai 2. Kedua-dua insan yang bersusah payah
membesarkan dan mendidik kami 4 beradik lebih disayangi oleh yang Maha
Pencipta. Abah pergi pada tahun 2005 diikuti oleh emak pada tahun 2009.
Al-Fatihah.
Sekarang bekerja sebagai guru di SMK Undang
Rembau dan menetap di Rembau, Negeri Sembilan sejak Januari 2008 sehingga kini. Sebelum itu saya
pernah berkhidmat sebagai guru sandaran di bawah Jabatan Hal Ehwal Negeri
Sembilan di SMA Dato’ Klana Petra Maamor, Ampangan (2005) dan SMRA Nilai
(2006-2007). Saya telah mendirikan rumahtangga dengan pilihan hati, Nurul
Azilah binti Sulaiman pada tanggal 28 November 2014 dan Alhamdulillah telah
dikurniakan seorang puteri bernama Saidatul Najad pada 5 September 2015.
Sejak di bangku sekolah saya meminati
subjek matematik dan lukisan, seterusnya membawa saya memilih bidang
kejuruteraan di sekolah teknik sehingga
ke universiti. Saya ringkaskan sejarah pendidikan saya seperti dibawah :
1989-1993: Sekolah Kebangsaan Jelai 1 (F), Gemas,
N. Sembilan
1994 : Sekolah Kebangsaan Jelai 3 (F),
Gemas, N. Sembilan. – UPSR
1995-1997: Sekolah Dato’ Sheikh Ahmad,
Seremban, N. Sembilan. – PMR
1998-1999: Sekolah Menengah Teknik Tuanku
Ja’afar, Seremban, N. Sembilan. – SPM
2000-2004: Institut Teknologi Tun Hussein
Onn (ITTHO-sekarang UTHM), Batu Pahat, Johor. –Diploma Kejuruteraan Mekanikal beserta Kemahiran
dan Pendidikan.
2012-sekarang: Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. – Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik (Sek. Men.) beserta Kepujian.
Antara impian saya dalam hidup ialah terus
menjalankan pekerjaan yang diminati, menjalani kebebasan hidup dan memiliki
kewangan yang stabil bersama orang-orang tersayang di samping tidak lupa
kejayaan di destinasi yang kekal abadi kelak. Amin.
Subscribe to:
Posts (Atom)